Puak Houthi bedil kapal induk Amerika

Oleh – Syeikh Baran


Puak Houthi bedil kapal induk Amerika
GAMBAR fail 26 November 2023 menunjukkan kapal induk USS Dwight D. Eisenhower(CVN 69) belayar di Selat Hormuz. – AFP

Pemberontak Houthi di Yemen menyatakan kelmarin bahawa pejuang-pejuangnya membedil sejumlah peluru berpandu balistik ke arah kapal pengangkut  pesawat Amerika Syarikat(AS), USS Eisenhower di Laut Merah untuk membalas dendam serangan udara AS dan Britain pada hari sebelumnya, lapor akhbar Arab News.

Jurucakap tentera Houthi, Yahya Sarea berkata, seramai 16 orang terbunuh dan 41 yang lain cedera dalam gelombang terbaru serangan peluru berpandu Washington dan London ke atas wilayah Hodeidah pada Khamis lalu. Serangan udara itu menyasarkan stesen Radio Hodeidah dan sebuah kemudahan pengawal pantai di pelabuhan Al-Saleef selain sebilangan sasaran di Sanaa serta Taiz.



“Serangan ini jelas menyasarkan sasaran awam sekali gus melanggar undang-undang antarabangsa dan jelas jenayah perang,” katanya.

Terdahulu pada Khamis lalu, Markas Pusat Perintah AS(CENTCOM) menyatakan, pihaknya memusnahkan lapan dron yang dilancarkan dari kawasan yang dikuasai puak Houthi di Yemen yang menuju ke Laut Merah.

Pada hari sama, pemimpin pemberontak Houthi,  Abdul Malik Al-Houthi berkata, tenteranya telah menyerang sebanyak 129 buah kapal di Laut Merah, Teluk Aden,  Lautan Hindi dan terbaru, Laut Mediterranean sejak perang Gaza tercetus pada 7 November tahun lalu.

Menurutnya, pemberontak Houthi turut menembak jatuh enam dron MQ-9 Reaper milik tentera Amerika. – AGENSI



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button