Amerika, Britain bom Yemen
Oleh – Syeikh Baran
Amerika Syarikat(AS) dan Britain melancarkan serangan udara yang menyasarkan sebilangan lokasi di Yemen dalam percubaan untuk menjejaskan keupayaan pemberontak Houthi menyerang kapal-kapal dagang.
Pemberita AFP mendengar beberapa bunyi letupan kuat di ibu negara, Sanaa dan bandar pelabuhan Hodeida dari kelmarin hingga semalam.
Saluran televisyen dikawal puak Houthi, Al-Masirah melaporkan bahawa serangan itu turut menyasarkan infrastruktur telekomunikasi di bandar Taez.
Menurutnya, ‘sebilangan’ penduduk terbunuh atau cedera dalam siri serangan itu.
Markas Pusat Perintah Amerika Syarikat(CENTCOM) menyatakan dalam satu kenyataan bahawa secara keseluruhan, sebanyak 13 lokasi militia Houthi telah diserang.
“Serangan ini perlu bagi melindungi pasukan tentera kami, memastikan kebebasan belayar dan menjadikan perairan antarabangsa lebih selamat,” kata CENTCOM.
Sejak Januari lalu, Amerika Syarikat(AS) dan Britain berulang kali melancarkan serangan terhadap sasaran Houthi di Yemen sebagai membalas serangan kumpulan pemberontak itu di Laut Merah dan Teluk Aden.
Bagaimanapun, gelombang serangan Barat gagal melemahkan puak Houthi yang bersumpah akan menyasarkan kapal milik AS dan Britain di samping semua kapal menuju ke pelabuhan Israel. – AFP
Sumber – KOSMO! ONLINE