Mesir potong subsidi, harga roti meroket 400 peratus
Oleh – Syeikh Baran
Keluarga miskin dan berpendapatan rendah di Mesir berisiko tidak lagi mampu memenuhi keperluan asas makanan selepas subsidi roti dikurangkan bermula esok, lapor portal berita The New Arab semalam.
Dalam satu sidang akhbar yang disiarkan di kaca televisyen, Perdana Menteri Moustafa Madbouly berkata, Mesir akan mengurangkan subsidi roti.
Menurutnya, terdapat usaha daripada pihak berkuasa supaya pemotongan subsidi itu tidak memberi kesan yang buruk terhadap golongan miskin di negara itu.
“Negara akan terus menawarkan subsidi tetapi kami mengehadkannya kerana kenaikan kos gandum (kebanyakannya diimport),” kata Moustafa.
Harga 20 keping roti balady yang popular sebelum kenaikan itu ialah 1 pound Mesir (RM0.09) namun, akan dinaikkan sebanyak empat kali ganda.
Hampir 105 juta penduduk Mesir berada di bawah garis kemiskinan dan mengalami kekurangan zat makanan.
Baru-baru ini, penduduk negara itu menyuarakan kemarahan dengan hashtag ‘roti bersubsidi’ telah menjadi tular selama beberapa hari berikutan ucapan Presiden Abdel Fattah al-Sisi mengenai pemotongan subsidi yang akan dilakukan termasuk produk petroleum dan tenaga elektrik. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE