Akaun media sosial ibu Zayn Rayyan ‘hilang’

Oleh – Syeikh Baran


Akaun media sosial ibu Zayn Rayyan ‘hilang’
Carian Kosmo! terhadap akaun Instagram @izzmanaf mendapati tidak digunakan lagi.

Akaun media sosial milik ibu kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, dinyahaktifkan sebaik sahaja dia ditahan bersama suaminya semalam.

Carian Kosmo! mendapati, akaun media sosial wanita terbabit, Ismanira Abdul Manaf, 29, di TikTok dan Instagram kini tidak lagi aktif.



Bagaimanapun, akaun Facebook dengan nama pengguna ‘Izz Manaf’ masih lagi wujud namun hantaran terakhir di akaun tersebut adalah pada Februari lalu.

Ismanira sebelum ini sering berkongsi mengenai anak-anaknya di TikTok dan Instagram berkenaan.

Susulan kejadian malang yang menimpa Zayn Rayyan, 7, Ismanira sering meluahkan perasaan rindu terhadap kanak-kanak tersebut selain sering melawat kubur Allahyarham yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara.

Februari lalu, keluarga ini turut mendapat perhatian pengguna media sosial apabila menyambut hari jadi Zayn Rayyan di pusara kanak-kanak itu.



Terdahulu, Ismaniza dan suami, Zaim Ikhwan Zahari, 29, dilaporkan direman selama tujuh hari mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi melengkapkan siasatan.

Pada 6 Disember tahun lalu, Kosmo! melaporkan Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini selepas dilaporkan hilang di kawasan kediamannya itu.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button