Pemain Kenari Kids maut kemalangan
Oleh – Syeikh Baran
Setelah enam hari tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di wad ICU Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, akhirnya, Muhammad Hazran Aime Helme, 15, meninggal dunia, semalam.
Ketua Polis Daerah, Superitendan Shamsudin Mamat, berkata, mangsa berasal dari Kampung Sadik, Kupang, merupakan pelajar Tingkatan 3 Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai, telah terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Ahad lalu di kawasan berhampiran Sekolah Agama Yayasan Khairiah, Kampung. Pisang, Kupang, Jalan Baru Kulim/Baling/ Gerik.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan tersebut berlaku lebih kurang pukul 5.35 petang apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC terbabas sendiri.”
“Kemalangan tersebut berlaku ketika mangsa dari rumahnya dalam perjalanan dalam ke sekolahnya, apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar tebing kepala simpang,” kata Shamsudin.
Akibat daripada kemalangan tersebut mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala kerana tidak memakai topi keselamatan dan telah dihantar ke Hospital Baling seterusnya dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk dirawat lanjut dan kes disiasat dibawah Sek. 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, kakak mangsa, Nor Nazira Helme, 24 memaklumkan sedang mencari saksi atau pemandu yang terlibat dalam kemalangan tersebut untuk dapatkan penjelasan lebih lanjut.
“Saya diberitahu oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian ketika itu, adik telah dilanggar oleh sebuah kereta lalu menghilangkan diri, jadi saya mohon mereka yang berkenaan tampil ke hadapan.
“Kami juga cuba mencari bukti melalui CCTV (televisyen litar tertutup) yang mungkin ada di tempat kejadian, kita tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya, jika sesiapa yang ada terakam melalui perakam video kereta mengenai kejadian kemalangan itu, harap dapat membantu kami,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE