Enggan buka pintu lepas nampak pegawai JIM di CCTV

Oleh – Syeikh Baran


Enggan buka pintu lepas nampak pegawai JIM di CCTV
Sebahagian warga Pakistan yang ditahan di sebuah premis menjahit di daerah ini oleh JIM Kedah, malam tadi.

Jabatan Imigresen (JIM) Kedah menggempur sebuah premis di daerah ini yang dipercayai menjadi ‘lubuk’ pendatang asing tanpa izin (PATI) mendapat pekerjaan.

Serbuan malam tadi yang dijalankan Unit Risikan dan Operasi Bahagian Penguat Kuasa JIM Kedah berjaya menahan 16 warga Pakistan berusia 21 hingga 49 tahun.



Pengarah JIM Kedah, Mohd. Ridzzuan Mohd. Zain berkata, pihaknya terpaksa memecah pintu premis itu selepas pekerja enggan memberikan kerjasama sebaik menyedari kehadiran pihaknya melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

“Ketika serbuan sebahagian warga Pakistan itu sedang leka menjahit di tiga tingkat premis berkenaan.

“Maklumat mendapati premis itu turut dijadikan asrama pekerja selain mereka tidak dibenarkan keluar oleh majikan yang akan hadir setiap pagi untuk memantau pergerakan dan tugas mereka,” katanya.

Jelas Ridzzuan, siasatan lanjut pihaknya mendapati premis itu dimiliki warga tempatan dan ‘dialibabakan’ kepada warga asing.



“Pekerja mengambil upah menjahit pakaian dengan cara menerima tempahan daripada pengusaha tekstil dan pelanggan tetap sekitar daerah ini.

“Kita dalam proses mengenal pasti pemilik premis dan majikan pekerja berkenaan kerana membenarkan imigran larangan berada di premis terlibat ,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button