Cuti sekolah tamat, lebuh raya utama sesak
Oleh – Syeikh Baran
Memasuki hari terakhir cuti seklolah, aliran trafik di beberapa lebuh raya utama seperti Lebuh Raya Utara-Selatan, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dilaporkan perlahan ekoran pertambahan kenderaan sejak tengah hari tadi.
Lembaga Lebuhraya (LLM) menerusi laporan di Facebook berkata, trafik perlahan di Lebuh Raya KLK arah barat melibatkan laluan Bentong ke Lentang, Genting Sempah ke Gombak dan Hentian Sebelah Gombak ke Plaza Tol Gombak.
Di Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, trafik perlahan dari Plaza Tol Sungai Besi ke pusat bandar, Seremban ke Bandar Ainsdale, Simpang Ampat ke Port Dickson dan Ayer Keroh ke Simpang Ampat.
“Turut sesak di laluan Machap ke Simpang Renggam dan Sedenak ke Simpang Renggam.
“Bagi arah utara pula, ia melibatkan laluan Sungai Petani ke Bertam, Bertam ke Sungai Dua, Permatang Pauh ke Perai, Bukit Tambun Utara ke Bandar Cassia, Kuala Kangsar ke Terowong Meru, Simpang Pulai ke Gopeng, Gua Tempurung ke Tapah dan Sungai Buaya ke Rawang,” lapor LLM.
Sumber – KOSMO! ONLINE