KUALA LUMPUR – Bekas pemain beregu lelaki No.1 dunia, Tan Boon Heong berkongsi pengalaman pernah menjadi mangsa penipuan (scam) yang menyebabkan beliau mengalami kerugian hampir RM2.5 juta.
Perkara itu dikongsikan Boon Heong menerusi laman media sosial miliknya sebaik sahaja mengetahui pemain beregu campuran profesional negara, Lai Pei Jing turut menjadi mangsa penipuan tersebut.
Perkongsian yang dibuat Pei Jing menerusi satu status di laman Instagram mendapati pemain berusia 32 tahun itu hampir kehilangan semua wang simpanan yang diperoleh hasil titik peluh di atas gelanggang.
“Melihat rakan pemain badminton saya ditipu mengingatkan saya yang pernah ditipu juga. Setiap penipuan yang dialami, ia mengajar anda sesuatu. Itulah kehidupan, anda tidak boleh mengelak dan setiap orang perlu mengalami sekurang-kurangnya sekali.
“Ingat, memberikan wang hasil titik peluh anda ke tangan orang lain dan mengharapkan untuk mendapatkannya kembali adalah mustahil. Saya cadangkan fokus pada apa yang anda boleh kawal,” tulis Boon Heong di laman Facebooknya.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
Mahathir, satu satunya individu hadapi Dua RCI
Tambahnya, perkongsian itu dibuat atas dasar prihatin selain sebagai peringatan kepada orang ramai supaya berhati-hati dan tidak mudah ditipu ketika melakukan pelaburan.
“Saya ditipu sebanyak dua kali, sekali berjumlah AS$500,000 (RM2.3 juta) dan sekali lagi RM160,000. Jika anda benar-benar mahu melabur, anda sepatutnya menjadi pegawai bank dan bukannya pemain,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE