Tujuh kereta rosak dirempuh Myvi

Oleh – Syeikh Baran


Tujuh kereta rosak dirempuh Myvi
KEADAAN tujuh buah kenderaan yang mengalami kerosakan selepas dilanggar Myvi di Jalan Taman Kenanga Mewah, Melaka.

Tujuh buah kereta yang diparkirkan di Jalan Taman Kenanga Mewah dekat sini mengalami kerosakan selepas dilanggar sebuah Perodua Myvi dipandu seorang warga emas, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian pemandu berusia 84 tahun berkenaan cuba untuk parkir kenderaannya di tepi jalan di lokasi kira-kira pukul 12.20 pagi.



“Dia bagaimanapun telah tertekan pedal minyak dan terus melanggar kenderaan yang diparkir di hadapannya.

“Kemudian warga emas itu telah masuk gear untuk mengundur dan sekali lagi telah tertekan pedal minyak dengan kuat lalu melanggar kereta di bahagian belakangnya,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambahnya, akibat kemalangan tersebut sebanyak tujuh kenderaan mengalami kerosakan.

Mengulas lanjut beliau berkata, kereta yang terlibat adalah jenis Honda, Proton Wira, Waja, Preve dan Saga.



“Tiada saksi bebas tampil memberi keterangan lanjut berkaitan kejadian. Keterangan telah diambil daripada semua pemilik kenderaan.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button