Wanita tepis kecaman kahwini tauke emas tua 40 tahun
Oleh – Syeikh Baran
![Wanita tepis kecaman kahwini tauke emas tua 40 tahun](https://my-tv.online/wp-content/uploads/2024/06/kahwin-tokeh-emas.webp)
Sepasang pengantin baharu di Kuningan, wilayah Jawa Barat menjadi perhatian pengguna laman sosial kerana mempunyai jarak usia 40 tahun, lapor portal berita Wolipop hari ini.
Berdasarkan hantaran yang dimuat naik di platform TikTok, pasangan tersebut dilihat berjalan ke pentas perkahwinan sambil diiringi ahli keluarga.
Individu yang memuat naik video tersebut, Noviar menjelaskan bahawa pasangan pengantin itu mempunyai beza usia 40 tahun.
Mereka melangsungkan perkahwinan pada 1 Mei lalu, manakala pengantin lelaki bernama Jumar Muaamar. Dia merupakan pemilik sebuah kedai emas.
Hantaran yang dikongsikan itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.
“Umur sangat jauh berbeza tetapi wang adalah segalanya,” kata seorang netizen.
“Sekadar makluman, keluarga pengantin perempuan bukan orang biasa-biasa, mereka juga orang berada di kampung itu. Pasangan pengantin berkahwin selepas sudah lama saling mengenali. Jadi, sila jaga mulut dan hati anda semua,” kata pengguna media sosial yang lain.
Sementara itu, menyedari perkahwinannya menjadi tular, pengantin perempuan dikenali sebagai Amelia tampil membuat penjelasan.
Menurutnya, dia enggan mengambil peduli kata-kata netizen yang skeptikal terhadap perkahwinan mereka kerana sebagai manusia yang mampu merancang, setiap perkara seperti jodoh telah ditentukan oleh Allah.
“Saya dapat melalui semua kecaman daripada anda kerana mendapat sokongan daripada keluarga terdekat serta rakan-rakan,” katanya. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE