Abang kembar disyaki didesak jadi scammer di Myanmar

Oleh – Syeikh Baran


Abang kembar disyaki didesak jadi scammer di Myanmar
Ibu mangsa,Lay(kiri) dan adik mangsa, Siew(kanan), hadir ketika sidang akhbar Malaysia International Humanitarian Organization (MHO) di Megan Avenue 1, di sini, hari ini.

Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dipercayai dilarikan ke Myanmar selepas ditipu sindiket yang menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan di sebuah syarikat pelaburan besar di Singapura.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pelukis dan ‘freelancer’ muda itu sempat berkomunikasi dengan ahli keluarga namun enggan mendedahkan lokasi sebenarnya ketika ini.



“Kita percaya mangsa kini dikurung di Myanmar apabila adiknya memaklumkan dia berada di Thailand. Kebiasaannya mereka yang dibawa ke sana akan dipaksa menjadi scammer,” ujarnya ketika sidang akhbar di Menara Avenue 1, di sini, hari ini.

Menurut ibu mangsa, Lay, 55, dia telah menghantar anaknya ke Terminal Penang Sentral, Pulau Pinang, menuju ke Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur dengan tujuan bertemu rakan yang dikenali secara dalam talian pada pukul 11.45 malam, 29 Mei lalu.

“Dia beritahu akan pulang selepas berjumpa rakan mayanya. Bila telefon dia beritahu dia sudah berada di Singapura untuk bekerja.

“Majikan juga menghalang dia untuk selalu menghubungi saya disebabkan dia masih pekerja baharu,” ceritanya.



Sementara adik kembar mangsa, Siew, 27, berkata, pada Selasa lalu, dia tampil membuat laporan polis kedua setelah mengetahui abangnya berada di Thailand.

“Saya telah menerima panggilan WhatsApp dari abang kembar saya memberitahu dia sudah berada di Thailand dan telah dikawal oleh beberapa individu.

“Dia juga memberitahu bahawa dia tidak boleh pulang ke Malaysia dan tidak boleh berhubung dengan keluarga secara kerap.

“Jika mahu membawanya pulang ke Malaysia, keluarga perlu menyediakan wang USD 25,000 (RM117,450),” ujarnya.



Dakwanya, abangnya juga enggan mendedahkan lokasinya terkini sekali gus melarang membuat laporan polis atau meminta pertolongan daripada MHO.

“Dia pesan supaya jangan bimbang kerana dia makan empat kali sehari, tinggal di tempat yang ada pendingin hawa (tempat selesa).

“Dia tidak boleh dedahkan lokasi dan perlu tolong majikan capai sasaran (hit target) dalam tempoh setahun. Dah berjaya capai semua itu, majikan akan beri pulang (ke Malaysia).

“Abang ada menangis dan minta maaf kepada kami ketika panggilan video dibuat semalam. Kalau keluarga tiada duit, dia akan kerja setahun di sana dan capai sasaran seperti ditetapkan supaya boleh balik,” ceritanya.



Sehubungan itu, Hishamuddin turut menggesa mangsa supaya memberi kerjasama mendedahkan lokasinya agar proses menyelamatkan mangsa menjadi lebih mudah.

“Saya nasihatkan kepada keluarga lain yang mengalami nasib sama agar tidak membayar wang tebusan seperti diminta sindiket kerana tidak mahu penipuan berlaku berkali-kali.

“Sebaliknya, laporkan kepada MHO untuk kita kenal pasti lokasi seterusnya pasukan kita menyelamatkan anak-anak yang terkandas di daerah berkenaan seperti Myanmar, Laos, Kemboja,” jelasnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button