3 warga emas terjebak jadi ejen tempahan hotel, rugi RM269,000
Oleh – Syeikh Baran
Polis menerima 19 laporan termasuk tiga daripada warga emas yang menjadi mangsa sindiket menawarkan pekerjaan tidak wujud dengan nilai kerugian sebanyak RM 269,237.
Ketiga-tiga mereka terpedaya dengan tawaran pekerjaan ‘job for senior’ yang mempromosi tawaran pekerjaan sambilan di laman sesawang ‘lynxoasis.com’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, tawaran mesej oleh sindiket itu disebarkan melalui aplikasi WhatsApp yang disyaki menyasarkan mangsa dalam kalangan warga emas.
“Secara keseluruhan sejumlah 19 laporan polis telah diterima di seluruh Malaysia berkaitan laman sesawang itu membabitkan nilai kerugian RM688,099.
“Daripada 19 laporan polis yang diterima setakat ini, tiga daripada mangsa adalah dalam kategori warga emas.
“Ia sekali gus menunjukkan warga emas adalah sasaran yang lebih ‘berkualiti’ berbanding kategori mangsa lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sindiket penipuan itu menggunakan platform Instagram dan Facebook untuk mengiklankan tawaran pekerjaan sambilan selaku ejen tempahan hotel.
“Mangsa yang berminat akan diminta membuka akaun di laman sesawang itu dan menyelesaikan tugasan tempahan hotel sebagaimana diarahkan.
“Tempahan perlu dibuat menggunakan wang mangsa terlebih dahulu dengan jaminan ia akan dipulangkan semula beserta komisen,” katanya.
Katanya, mangsa dijanjikan komisen sebanyak 0.6 peratus hingga 10 peratus bergantung kepada tugasan yang diselesaikan.
“Melalui laman sesawang tersebut, mangsa akan dapat melihat wang komisen mereka meningkat, namun apabila ingin mengeluarkan wang keuntungan, sindiket akan mengarahkan mangsa membuat pelbagai bayaran tambahan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ramli berkata, orang ramai dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan mengambil langkah pencegahan yang sewajarnya agar
tidak menjadi mangsa kepada kegiatan penipuan sebegini.
“Hubungi National Scam Response Center di talian 997 untuk sebarang aduan dan nasihat berkenaan jenayah penipuan,” katanya.
Sumber – BERITA HARIAN