Ajal dilanggar ketika cuba bantu mangsa kemalangan
Oleh – Syeikh Baran
Niat baik seorang lelaki yang mahu membantu sebuah kereta terbabas di Kilometer 18.8, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di sini bertukar tragedi apabila dia maut dilanggar kenderaan lain ketika menghulurkan bantuan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 5.20 petang semalam melibatkan kereta jenis Perodua Axia dan Mitsubishi Triton dengan seorang pejalan kaki yang merupakan pemandu trak pikap Toyota Hilux.
Sebelum kejadian, kereta Perodua Axia dipandu lelaki tempatan berusia 33 tahun dalam perjalanan dari arah Sungai Rengit menghala ke Kota Tinggi dipercayai terbabas di lokasi tersebut.
“Sebaik melihat kemalangan itu, mangsa berusia 35 tahun yang memandu trak pikap memberhentikan kenderaannya untuk memberikan bantuan.
“Walau bagaimanapun ketika mangsa cuba membantu, datang sebuah Mitsubishi Triton dipandu lelaki tempatan berusia 27 tahun melanggar mangsa yang berada berhampiran Perodua Axia.
“Ekoran pelanggaran itu. pemandu Toyota Hilux mengalami kecederaan di bahagian dalaman badan dan disahkan maut di lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kota Tinggi (untuk dibedah siasat. Pemandu dan penumpang Mitsubishi Triton turut cedera di bahagian anggota badan dan menerima rawatan di HKT.
“Pemandu Perodua Axia hanya cedera ringan dan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Pasir Gudang,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE