Suami isteri dicekup edar ganja

Oleh – Syeikh Baran


Suami isteri dicekup edar ganja
KETULAN mampat daun kering dipercayai ganja dan kereta Proton Waja dirampas oleh polis susulan penahanan suami isteri di Jalan Sahabat, dekat Padang Besar semalam.

Sepasang suami isteri ditahan selepas polis menjumpai ketulan mampat ganja seberat satu kilogram dalam kereta dinaiki mereka dekat kebun harum manis di Jalan Sahabat dekat sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah Padang Besar sedang melakukan operasi membanteras pengedaran dadah menahan sebuah kereta dinaiki dua suspek warga tempatan berkenaan.



Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, dalam operasi tersebut seorang lelaki berusia 27 tahun dan wanita berusia 21 tahun ditahan ketika menaiki kereta jenis Proton Waja di tepi jalan masuk sebuah kebun mangga harum manis di Jalan Sahabat, Kaki Bukit di sini.

“Hasil penahanan tersebut, pihak polis menemui satu beg yang di dalamnya terdapat bungkusan kertas aluminium berwarna emas yang dibalut pita pelekat mengandungi ketulan mampat daun kering dipercayai dadah jenis ganja.

“Ketulan mampat seberat satu kilogram itu diletakkan di atas lantai sebelah kiri penumpang belakang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Shokri, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai terlibat kegiatan pengedaran dadah di kawasan setempat sejak awal tahun ini.



“Siasatan awal mendapati, dadah jenis ganja itu dibawa masuk menggunakan laluan tikus di sempadan Malaysia-Thailand untuk pasaran sekitar Padang Besar.

“Maklumat juga menunjukkan suspek mendapatkan bekalan melalui seorang lelaki dari negara jiran. Dadah yang dirampas mampu memenuhi permintaan 4,000 pengguna bahan terlarang itu dan nilai rampasan adalah RM3,100,” ujarnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button