Ahli Politik Mesti Bijak Membaca Minda Pengundi

Ahli Politik Mesti Bijak Membaca Minda Pengundi

Ahli Politik Mesti Bijak Membaca Minda Pengundi

 

Bagi seseorang ahli politik, sokongan dari pengundi merupakan faktor yang sangat penting untuk kesinambungan karier politik mereka.

Sokongan yangb kemudian sekiranya dapat diterjemahkan di dalam kotak undi di hari pilihanraya bakal menentukan sama ada mereka masih diperlukan lagi atau pun tidak.



Sekiranya lawan mereka dalam pilihanraya berjaya mendapat undi melebihi mereka, maka itu bermakna permulaan kepada pengakhiran karier politik mereka.

Keluhan sering didengari dari ahli politik mengenai mood pengundi sekarang terlalu susah untuk mereka baca.

Mengapa ianya berlaku?

Ianya berlaku kerana sebenarnya mereka gagal untuk membaca minda pengundi dengan bijak.



Jangan Ambil Mudah Dengan Perubahan Pola Pemikiran Akar Umbi

 

Selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan pasca PRU 15, pola pemikiran pengundi mengalami perubahan yang tidak sedikit.

Interaksi pemimpin dengan masyarakat dan dalam hal ini khusus mengenai kancah politik, adalah kompleks, terjalin dalam kerumitan unsur intelek dan emosi.

Kerumitan ini memberi kesan besar ke atas corak membuat keputusan di bilik mengundi.



Jalinan kerjasama antara dua musuh politik yang berakar dan subur selama lebih 57 tahun itu, walaupun dalam keadaan terpaksa, tidak seharusnya diambil mudah.

Pertembungan itu berakar pada emosi dan rasional, subur dalam jiwa dan raga.

Kerjasama yang dijalin bukan mudah untuk melahirkan hasil undi 1 + 1 menjadi 2.

Itu adalah andaian naif.



Dalam kajian Bruter dan Harrison yang dimuatkan antaranya dalam buku mereka Inside the Mind of a Voter, menyentuh antaranya, pilihan raya memberi kesan emosi yang sangat tinggi kepada pengundi.

Kesannya, jika kita hampiri pengundi beremosi dengan bahasan rasional, kita akan payah memenangi undi.

Kerana yang membuat keputusan bagi mereka adalah hati dan bukan minda.

Psikologi dalam membuat keputusan adalah kompleks.



Hampir setiap orang berasa dia membuat keputusan dengan rasional, atau logik.

Namun, sedikit ujian boleh buktikan sama ada dia sebenarnya membuat keputusan mengguna rasional atau emosi.

Pada kebanyakan masa, emosi akan mengatasi rasional dalam membuat keputusan.

Jadikan Kegagalan Muafakat Nasional Sebagai Pengajaran

 



Sewaktu penubuhan Muafakat Nasional pada tahun 2019, gabungan suara antara UMNO dan PAS adalah sesuatu yang dinantikan oleh hati-hati yang sudah lama memendam rindu untuk bersama tetapi dipisahkan oleh kemahuan-kemahuan yang bertingkah.

Justeru kita saksikan linangan air mata pada saat menandatangani persefahaman pada 14 September 2019.

Namun kemahuan yang bertingkah terbukti lebih kuat berbanding kesenduan jiwa yang ingin bertaut.

Muafakat Nasional gagal diteruskan apabila Perikatan Nasional ditubuhkan pada 7 Ogos 2020.

Tidak sampai setahun persefahaman Muafakat Nasional ditandatangani.

Keputusan PRU 15 yang menyaksikan BN berbaki 30 orang ahli parlimen.

Bilangan paling rendah dalam sejarah pilihanraya negara.

Ia membuka ruang kepada kerjasama dengan seteru utama BN iaitu PH.

Pemaktuban kerjasama terebut menimbulkan polemik baharu dalam arena politik negara, dibajai oleh mereka yang tidak puas hati dalam parti, serta disiram minyak oleh parti lawan.

Justeru, BN sedang melalui tempoh badai jenis baharu yang belum pernah dilalui sebelum ini.

Iaitu kerjasama dengan PH yang di dalamnya ada DAP, sebuah parti yang menjadi seteru utama BN sejak penubuhannya pada tahun 1965.

Pemimpin Akar Umbi Mempunyai Peranan & Tanggungjawab Yang Besar

 

BN, khususnya UMNO kini berdepan dengan masalah keyakinan penyokongnya.

Lebih parah adalah keyakinan ahlinya sendiri yang tidak setuju dengan kerjasama bersama DAP.

Walaupun DAP jelas membantu BN dalam kemenangan di PRK Pelangai 2023, namun ia belum mampu mereda protes senyap penyokong UMNO/BN.

Situasi ini tidak seharusnya dipandang remeh oleh para pemimpin UMNO/BN.

Pemimpin di akar umbi tidak seharusnya mengelak untuk berdepan dengan pengundi dan membuat penjelasan.

Mengelak daripada memberi penjelasan, atas apa alasan sekalipun hanya akan membawa padah kepada UMNO.

Sekali gus membuka tirai malang kepada UMNO.

Mereka juga tidak seharusnya hanya mengharapkan penjelasan melalui media sosial.

Penjelasan sedemikian tidak memberi kepuasan, dan tampak ketidakberanian untuk berhadapan dengan para penyokong.

Cuaca politik sebegini perlu kepada pemimpin yang berani menghadapi penyokong dan beri penjelasan.

Pembedahan keputusan PRK Kemaman 2023 banyak menceritakan tentang keperluan keberanian pemimpin akar umbi untuk berhadapan dengan pengundi.

Khususnya para penyokong UMNO/BN, buat penjelasan, tanam kepercayaan dan bina keyakinan semula.

Yakinkan mereka bahawa UMNO ada wawasan masa depan.

UMNO masih bertapak pada perjuangan memartabat bangsa, dan UMNO tetap membela kepentingan bangsa.

Kekangan dana tempatan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak mengadakan interaksi dengan pengundi tempatan.

Pemimpin tempatan seharusnya kreatif mewujudkan interaksi tersebut dengan apa cara sekalipun.

Kerana tanpa penjelasan, sokongan menjadi semakin kurus, dan kekurusan berterusan boleh memustahilkan kemenangan pada masa depan.

 

Ahli Politik Mesti Bijak Membaca Minda Pengundi

 

Di Syorkan Untuk Anda:

 

Temui Kami:

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button