Guru bahasa Arab maut nahas kereta berlanggar lori

Oleh – Syeikh Baran


Guru bahasa Arab maut nahas kereta berlanggar lori
Keadaan kereta dipandu Nor Ain Fitriah yang terlibat nahas dengan sebuah lori di Kampung Kubang Telaga, Bachok hari ini.

Seorang guru bahasa Arab maut dalam keadaan tragis selepas kereta yang dia pandu terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kampung Kubang Telaga, Bachok dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa, Nor Ain Fitriah Zakaria, 25, meninggal dunia di lokasi kejadian.



Bapa mangsa, Zakaria Mat, 54, berkata, anaknya yang mengajar di Sekolah Menengah Ugama Arab (SMUA) Al-Hidayah Al-Islamiah Kampung Chap, Bachok sedang dalam perjalanan pulang dari sekolah itu ke rumahnya dengan memandu kereta jenis Perodua Myvi.

Menurutnya, dia yang sedang bertugas di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Pasir Puteh menerima panggilan telefon berhubung kejadian menimpa Nor Ain Fitriah daripada orang awam.

“Saya terus bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati pasukan bomba sedang berusaha mengeluarkan mayatnya dari kereta.

“Kereta Perodua Myvi dipandu Nor Ain Fitriah itu baru enam bulan dibeli. Dia baru sahaja mengajar di SMUA Al-Hidayah Al-Islamiah sejak tiga bulan lalu selepas lebih setahun tamat pengajian di Mesir,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini sebentar tadi.



Zakaria yang merupakan Imam Muda Masjid Kubang Telaga di sini memberitahu, dia reda dengan pemergian Nor Ain Fitriah dan menyifatkan anaknya itu seorang anak yang taat dan baik.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Bachok, Abdur Rashid Ab. Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 4.04 petang sebelum sebuah jentera bersama 11 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke HUSM untuk proses bedah siasat,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button