Cabaran PRK DUN Sungai Bakap Kepada Parti Politik
Cabaran PRK DUN Sungai Bakap Kepada Parti Politik
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini.
Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.
Manakala tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 5 Julai.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Pada PRN Pulau Pinang pada Ogos tahun lalu, Allahyarham Nor Zamri yang juga YDP PAS Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
DUN Sungai Bakap mengandungi 39,279 pemilih yang terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Isu Apakah Yang Akan Menjadi Bahan Kempen Utama?
Sebagaimana biasa, 2 gabungan parti politik utama, BN/PH dan Perikatan Nasional akan menjadi tumpuan dalam pilihanraya kecil kali ini.
Walau pun penulis menjangkakan akan berlaku pertembungan lebih dari 2 penjuru, namun calon yang lain boleh dianggap sebagai penyeri majlis sahaja.
Persoalannya, isu apakah yang akan menjadi pilihan utama parti politik yang akan bertanding di PRK DUN Sungai Bakap?
Dari pemerhatian penulis, parti politik sering memilih isu yang salah sepanjang berkempen terutamanya dalam pilihanraya kecil.
Mereka gemar memilih isu yang berlaku di pusat yang tidak ada kena mengena dengan kehidupan pengundi tempatan.
Penulis menjangkakan, Perikatan Nasional akan menjadikan isu kontrak kepada suami Menteri Belia & Sukan, Hannah Yeoh, sebagai bahan kempen utama.
Manakala isu kenaikan harga bahan api diesel akan cuba dikaitkan dengan isu tersebut untuk menguatkan hujah kegagalan Kerajaan Perpaduan.
Walau pun kenaikan bahan api diesel mempunyai kesan secara langsung dengan kehidupan rakyat, namun sekiranya ia dijadikan hujah sokongan, Perikatan Nasional akan menerima padah.
Pengundi tidak berminat hendak tahu mengenai isu kontrak suami Hannah Yeoh.
Kerana ia hanya melibatkan Kerajaan Selangor dan tiada kaitan dengan mereka.
Sama ada suami Hannah Yeoh akan didakwa atau tidak, mereka tidak peduli.
Pengundi DUN Sungai Bakap juga tahu, sekiranya Perikatan Nasional berjaya mengekalkan kemenangan DUN Sungai Bakap, harga diesel tetap tidak akan turun.
Perikatan Nasional bukan kerajaan pusat, malah bukan juga kerajaan negeri.
Mereka tidak mempunyai kuasa untuk mengembalikan subsidi bahan api diesel yang sudah dirasionalkan.
BN/PH Di Jangkakan Akan Lebih Banyak Bertahan Dengan Menjawab Isu
BN/PH pula dijangkakan akan lebih banyak bertahan kerana sibuk menjawab serangan yang akan dilakukan oleh Perikatan Nasional.
Penyandang DUN Sungai Bakap adalah parti PN/PAS.
BN/PH akan masuk ke gelanggang sebagai parti pencabar yang cuba merampas kerusi tersebut.
Sepatutnya BN/PH mesti lebih ofensif dan tidak boleh bersikap defensif di sepanjang tempoh berkempen.
Namun kerana ketiadaan isu, maka adalah lebih baik bagi BN/PH bersikap defensif dari menggunakan isu yang salah dalam melakukan serangan.
Sepatutnya isu bantahan menggunakan Bahasa Melayu oleh 11 PIBG Pulau Pinang boleh dijadikan isu utama serangan terhadap Perikatan Nasional.
Kerana ianya dipercayai telah digerakkan oleh Perikatan Nasional melalui parti komponen mereka, Gerakan.
Tetapi kerana kenaifan DAP Pulau Pinang dan Johor yang membangkitkan isu kewarganegaraan, isu bantahan 11 PIBG Pulau Pinang sudah tidak boleh digunakan.
Mungkin BN/PH boleh menyemak kembali manifesto Perikatan Nasional dalam pilihanraya negeri sebagai serangan kepada Perikatan Nasional.
Apa pun keputusan PRK Sungai Bakap, ianya akan memberikan kesan secara langsung, sama ada kepada BN/PH atau pun Perikatan Nasional.
Cabaran PRK DUN Sungai Bakap Kepada Parti Politik
Di Syorkan Untuk Anda:
- Menunggang Agama Bukan Jaminan Kejayaan Politik
- Ahli Politik Mesti Bijak Membaca Minda Pengundi
- Berhenti Politikkan Isu 3R