Kenaikan harga siling beras putih tempatan akan dimuktamad Oktober ini – Mohamad Sabu

Oleh – Syeikh Baran


Kenaikan harga siling beras putih tempatan akan dimuktamad Oktober ini - Mohamad Sabu
Mohamad bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Lokman Hakim Ali melawat ruang pameran pada majlis peluncuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS). – Foto ASYRAF HAMZAH

Keputusan mengenai kenaikan harga siling beras putih tempatan (BPT) akan dimuktamadkan sebelum Oktober ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata cadangan itu sedang diperhalusi dalam perbincangan di peringkat akhir bersama beberapa kementerian lain.



“(Keputusan) masih di peringkat perbincangan. Sebarang perubahan harga dan sebagainya, (ia) perbincangan membabitkan empat kementerian, bukan hanya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), (tetapi termasuk juga) Kementerian Ekonomi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Kos Sara Hidup (KPDN) dan juga beberapa kementerian lain.

“Sekarang, (belum ada keputusan) dan masih lagi di peringkat perbincangan dan menuju kepada penyelesaian akhir dan keputusan akan dimuktamadkan sebelum Oktober,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Peluncuran Pameran Pertanian, Hortikultur, dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Lokman Hakim Ali.



BH sebelum ini melaporkan, pihak berkepentingan yang terbabit dalam industri beras negara menyarankan harga beras putih tempatan yang ketika ini dikawal kerajaan RM2.60 sekilogram atau RM26 bagi kampit 10 kilogram (kg), dinaikkan secara minimum 25 sen bagi setiap kilogram.

Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (BARIM), Ismail Awang, dilaporkan berkata, penetapan harga baharu kepada RM2.85 bagi setiap kilogram beras atau RM28.50 bagi kampit 10kg dilihat sebagai penyelesaian terbaik bagi memberi peluang kepada pemborong ‘bernafas’, selain kadar kenaikan tidak menekan pengguna.

November lalu, Mohamad Sabu memaklumkan kerajaan perlu meneliti cadangan Badan Kawal Selia Padi dan Beras supaya harga siling BPT dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding harga siling semasa iaitu RM2.60 sekilogram.

Ia mengambil kira impak kenaikan itu dengan keputusan yang dibuat bakal memberi kesan kepada hampir 300,000 komuniti yang terbabit dalam setiap rantaian berkenaan meliputi pesawah, pengilang komersial, pemborong dan peruncit.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button