Kontraktor ditahan beli diesel guna tong, tanpa permit sah

Oleh – Syeikh Baran


Kontraktor ditahan beli diesel guna tong, tanpa permit sah
Azman (kiri) melakukan pemantauan di stesen minyak sekitar Pasir Pekan, Tumpat susulan pengumuman kerajaan berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang ditetapkan pada harga RM3.35 seliter bermula tengah malam tadi. – Foto NIK ABDULLAH NIK OMAR

Seorang kontraktor ditahan di stesen minyak di Wakaf Aik, Tawang dekat Bachok selepas melakukan pembelian diesel menggunakan tong tanpa permit, malam tadi.

Kontraktor berusia 29 tahun itu ditahan jam 9 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang melakukan pemantauan di stesen berkenaan.



Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, berkata lelaki berkenaan membuat pembelian berkenaan selepas beberapa jam pengumuman pelaksanaan harga diesel tanpa subsidi pada kadar RM3.35 liter yang bermula hari ini.

“Hasil pemantauan kita mendapati kontraktor berkenaan datang ke stesen minyak terbabit menggunakan kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

“Lelaki terbabit membawa 15 tong biru dan ketika tangkapan dibuat, sebanyak enam tong sudah diisi diesel dengan setiap satu tong mengandungi 25 liter diesel. Pembelian dilakukan menggunakan kad debit.

“Susulan itu kita menahan kontraktor berkenaan kerana melakukan pembelian diesel menggunakan tong tanpa permit atau surat kebenaran sah,” katanya ketika mengadakan pemantauan di stesen minyak PETRONAS dan Petron di Pasir Pekan, di sini, tengah malam tadi.



Azman berkata, siasatan mendapati tujuan pembelian diesel berkenaan untuk aktiviti pertanian dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Pada masa sama, Azman berkata, pihaknya turut menyita dokumen stesen berkenaan kerana mengenakan pembelian diesel bersyarat iaitu maksimum RM100 untuk setiap kenderaan.

Katanya, pengusaha stesen berkenaan menggunakan alasan diesel tidak mencukupi.

“Justeru kita menyita dokumen stesen berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya.



Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button