Bicara rasuah, ubah wang haram Adam Radlan ditangguh lagi ke 9 Julai

Oleh – Syeikh Baran


Bicara rasuah, ubah wang haram Adam Radlan ditangguh lagi ke 9 Julai
Adam (dua dari kanan) ketika hadir di Mahlamah Sesyen hari ini. Foto oleh M.Firdaus M.Johari/KOSMO!

Perbicaraan 12 pertuduhan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad yang dijadualkan bermula pada hari ini ditangguh lagi ke 9 Julai di Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Suzana Hussin menetapkan 9 Julai ini sebagai hari pertama perbicaraan selepas peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam, 43, memaklumkan pihaknya baru menerima dokumen terakhir berkaitan kes daripada pendakwaan pada Jumaat lalu.



“Justeru pihak kami memohon supaya perbicaraan ditangguhkan kerana pihak pendakwaan baharu sahaja menyerahkan satu set dokumen iaitu jilid ke-13.Oleh itu kami memohon masa untuk meneliti dokumen berkenaan,” kata peguam itu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd. Zamry tidak membantah berhubung dengan penangguhan tersebut selain mengesahkan dokumen tarakhir itu baharu diserahkan pada Jumaat lalu.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Suzana kemudian menjadual semula dengan hari pertama perbicaraan pada 9 Julai ini.

Tarikh-tarikh itu ialah 9 hingga 11 Julai, 22 hingga 24 Julai dan 5 hingga 7 Ogos 2024.



Mahkamah juga turut melapangkan tarikh perbicaraan Adam bermula hari ini sehingga Rabu.

Dalam prosiding sebelum ini, pihak pendakwaan memaklumkan seramai 47 saksi akan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes.

Pada tahun lalu, Adam Radlan mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan rasuah dan tujuh pengubahan wang haram selepas didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur dan Shah Alam.

Bagi lima pertuduhan rasuah Adam Radlan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.



Hukuman bagi seksyen itu yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram ahli perniagaan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button