Pensyarah universiti dicekup bawa air ketum dalam trak pikap

Oleh – Syeikh Baran


Pensyarah universiti dicekup bawa air ketum dalam trak pikap
Air ketum yang dirampas di dalam trak pikap dinaiki seorang pensyarah di SJR Batu 6, Jalan Raya Timur-Barat, Batu Melintang dekat Jeli kira-kira dua minggu lalu. – Foto POLIS

Empat lelaki termasuk seorang pensyarah sebuah universiti awam ditahan selepas didapati membawa 0.95 liter air ketum di dalam trak pikap yang dinaiki mereka semasa sekatan jalan raya (SJR) di Batu 6, Jalan Raya Timur-Barat, Batu Melintang dekat Jeli kira-kira dua minggu lalu.

Pensyarah berusia 38 tahun itu dicekup kira-kira pukul 10.30 malam pada 2 Jun lalu dalam Ops Tapis Bersepadu dan Ops Bersepadu yang dijalankan bermula 26 Mei hingga Sabtu lalu.



Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, trak pikap jenis Toyota Hilux yang dinaiki keempat-empat lelaki itu ditahan semasa tiba di SJR itu.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut telah menjumpai empat botol plastik berisi air ketum sebanyak 0.95 liter.

“Ujian saringan air kencing ke atas tiga lelaki itu positif dadah jenis benzo manakala pensyarah itu negatif dadah,” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Muhamad Zaki memberitahu, dua lagi lelaki yang juga merupakan penjawat awam berusia 27 dan 35 tahun ditahan pada Ops Tapis Bersepadu dan Ops Bersepadu pada 4 dan 7 Jun lalu.



Menurutnya, suspek berusia 27 tahun didapati positif dadah jenis methamphetamine ditahan di sekitar Kota Bharu pada pukul 2.35 pagi.

“Seorang lagi penjawat awam berusia 35 tahun dicekup di sebuah rumah di Taman Wangi, Gua Musang, pukul 5 petang pada 7 Jun lalu selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses air ketum,” katanya.  

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button