184 negara dan ekonomi sertai COVAX: WHO

GENEVA, 20 Okt  — Sebanyak 184 negara dan ekonomi bergabung di bawah COVAX, sebuah inisiatif antarabangsa  dipimpin Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan rakan-rakannya untuk memastikan akses vaksin COVID-19 yang adil dan berkesan di seluruh dunia, lapor agensi berita Xinhua.

“COVAX mewakili portfolio terbesar vaksin COVID-19 dan kaedah paling berkesan untuk memastikan vaksin dapat dikongsi dengan selamat dan berkesan di seluruh dunia,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media maya, Isnin.

“Berkongsi vaksin secara adil adalah cara terpantas untuk melindungi masyarakat yang berisiko tinggi, menstabilkan sistem kesihatan dan mendorong pemulihan ekonomi global yang berkesan,” tambahnya.

Sebagai antara negara utama dalam pembangunan vaksin, China secara rasmi bergabung di bawah COVAX, langkah yang disifatkan  jurucakap Kementerian Luar  China sebagai penting untuk menegakkan konsep komuniti kesihatan bersama bagi semua dan komitmen menjadikan vaksin COVID- 19 membawa kebaikan kepada masyarakat awam global.



Pada sidang media sama Tedros berkata pandemik COVID-19 kini memasuki “fasa yang membimbangkan”.

Kedatangan musim sejuk di hemisfera utara dan lonjakan dalam jumlah kes baharu, Tedros memberi amaran beberapa bulan akan datang bakal menjadi lebih sukar, terutama di Eropah dan Amerika Utara.

“Oleh itu, penting kepada semua kerajaan untuk menumpukan seluruh perhatian kepada asas utama yang membantu memutuskan rantaian penularan demi untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan,” kata Tedros.

Ketika dunia sedang berjuang membendung pandemik COVID-19, negara di seluruh dunia berlumba-lumba mencari vaksin.



Menurut laman web WHO, pada 19 Oktober, terdapat 198 vaksin  percubaan  yang dibangunkan di seluruh dunia dan 44 daripadanya kini di peringkat ujian klinikal.

— BERNAMA

KERTAS PUTIH FELDA – KENYATAAN PIHAK SPRM TIDAK LAKU?



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button