Seorang lagi pegawai bank bersubahat jual tanah Felda ditahan

Oleh – Syeikh Baran


Seorang lagi pegawai bank bersubahat jual tanah Felda ditahan
Gambar Hiasan

Seorang lagi pegawai bank di Sabah ditahan selepas disyaki terbabit bersekongkol dengan sindiket menawarkan penjualan tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Melaka.

Suspek lelaki berusia sekitar 40-an tersebut dipercayai merupakan dalang bagi membantu urusan pembukaan akaun perbankan atas nama Felda yang palsu bagi membolehkan sindiket terbabit melakukan urusan transaksi jual beli dengan pembeli.



Perintah reman selama enam hari dikeluarkan Majistret Wan Farrah Fariza Wan Ghazali selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, hari ini.

Menurut sumber, suspek ditahan ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Sabah, sekitar pukul 9.45 malam tadi.

“Tangkapan ke atas suspek ini adalah susulan penahanan lapan individu membabitkan lima lelaki di Kuala Lumpur dan dua wanita bersama seorang lelaki yang ada antaranya berjawatan sebagai pegawai bank, broker, pengarah syarikat dan orang awam, Selasa lalu.

“Suspek dipercayai bertindak bagi memastikan akaun perbankan atas nama Felda palsu itu dapat dibuka agar pembeli yakin bahawa urusan jual beli tanah berkenaan adalah ‘genuine’,” katanya.



Menurut sumber, sehingga kini SPRM telah merakam percakapan 16 individu termasuk seorang pegawai kanan dan dua kakitangan Felda selain syarikat pemaju sejak Isnin lalu.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap suspek kesembilan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button