Belasah kekasih sampai patah riuk, berang keluar beli sayur

Oleh – Syeikh Baran


Belasah kekasih sampai patah riuk, berang keluar beli sayur
Yong Fei, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan kekasihnya sehingga parah selepas berang mangsa keluar membeli sayur tanpa izinnya.

Tertuduh, See Yong Fei, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.



Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kekasihnya berusia 38 tahun cedera parah dengan cara memukul dan menumbuk tangan serta menendang belakang badan sehingga patah di beberapa bahagian anggota badan.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 11.28 malam di sebuah rumah bernombor di Taman Desa Bertam, dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Mei lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, tertuduh bertindak memukul mangsa selepas berang wanita itu telah keluar rumah untuk membeli sayur tanpa izinnya.



Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Isshar mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh, selain syarat tambahan tidak menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Kelvinder Singh Sidhu yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya bekerja sebagai kontraktor, selain mempunyai lima anak berusia antara enam bulan sehingga 15 tahun.

Hadir sama, peguam pemerhati mangsa, Kent Tan Chow Teng, Cassian Anthony dan Francis Augustine.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Khairunnisak membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.



Sementara itu dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah, tertuduh turut didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak kekasihnya itu berusia 14 tahun pada pukul 6.30 petang di alamat sama, 17 September tahun lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan RM15,000 dikenakan beserta syarat tambahan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan memerintahkan tertuduh melapor diri sekali setiap sebulan di balai polis berdekatan, selain tidak mendekati mangsa dan saksi sehingga kes selesai.



Beliau menetapkan tarikh 31 Julai depan sebagai sebutan semula kedua-dua kes.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button