Kontena terbang: 11 pegawai kastam ditahan, rampas wang RM4.4 juta

Oleh – Syeikh Baran


Kontena terbang: 11 pegawai kastam ditahan, rampas wang RM4.4 juta
Antara wang tunai yang dirampas hasil tangkapan 17 individu berkait rasuah kontena terbang di Pelabuhan Klang, baru-baru ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 17 individu termasuk 11 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi membantu siasatan kes rasuah yang melibatkan ketirisan dianggarkan berjumlah RM3.5 billion di Pelabuhan Klang baru-baru ini.

Turut ditahan enam orang pengarah dan pekerja syarikat termasuk seorang runner serta kekasihnya.



Menurut sumber, hasil siasatan telah berjaya merampas wang tunai sejumlah RM4.4 juta dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai-pegawai kastam terlibat.

“Ini tidak termasuk empat buah motosikal Yamaha XMAX bernilai RM28,000, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Alphard bernilai lebih RM200,000, sebuah kereta BMW terpakai, barang-barang kemas, jam tangan mewah dan sebidang lot tanah yang kesemuanya dibeli secara tunai,” katanya.

Tambah sumber, semua sitaan ini adalah sebahagian daripada hasil rasuah yang dapat dikesan SPRM setakat ini.

Jelas sumber, sebanyak 12 akaun syarikat dan individu telah dibekukan dengan anggaran nilai berjumlah RM2 juta.



“SPRM juga dalam proses mengesan akaun-akaun lain yang dipercayai digunakan oleh suspek-suspek sindiket ini,” katanya.

Dalam pada itu, sumber memaklumkan pihak SPRM dengan kerjasama JKDM juga telah memeriksa kesemua 19 kontena yang disita.

“Hasil pemeriksaan, sindiket ini telah membuat pengisytiharan palsu dengan mengisytiharkan barangan seperti kerusi tolak, tandas duduk, tekstil dan peralatan kesihatan yang tidak bercukai.

“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati kesemua kontena terbabit mengandungi barangan lain antaranya lampu LED, papan panel solar, lampu solar, peralatan aksesori motosikal, sport rim, kenderaan, alat ganti kenderaan, pakaian, teh cina, daging babi proses dalam tin dan sebagainya



“Nilai anggaran keseluruhan 19 kontena tersebut termasuk cukai yang perlu dibayar dipercayai mencecah jutaan ringgit,” katanya.

Kata sumber, ini adalah antara kejayaan terbesar SPRM dalam mengekang isu rasuah dalam kalangan penguat kuasa dan isu ketirisan hasil negara.

Sementara itu, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 17 (b), Seksyen 16 (a) Akta SPRM 2009 dan Akta AMLATFPUAA 2001.

“Tindakan mengesan dalang utama sindiket sedang giat dijalankan melalui pelbagai kerjasama agensi luar negara,” tambah beliau.



Isnin lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM memberikan kenyataan bahawa negeri-negeri yang mempunyai kemudahan pelabuhan kini dalam perhatian SPRM bagi mengesan ketirisan hasil cukai kepada kerajaan.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button