Ambil upah bakar rumah, kereta langsai hutang along

Oleh – Syeikh Baran


Ambil upah bakar rumah, kereta langsai hutang along
SUSPEK mengambil upah RM1,000 bagi setiap tugasan membaling bom petrol yang dibayar oleh sindiket ahlong di Singapura.

Seorang lelaki diberkas polis selepas dipercayai mengambil upah daripada sindiket along di Singapura untuk melakukan kes khianat menggunakan bom petrol buatan sendiri, semalam.

Suspek berusia 25 tahun itu ditahan di hadapan sebuah rumah di Taman Kok Liang, Kuala Lumpur oleh sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka bersama anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.



Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, tangkapan dibuat selepas polis menerima laporan berkaitan kes khianat kenderaan dibakar di sebuah kediaman di Taman Mengkuang, Masjid Tanah, Alor Gajah pada 6 Jun lalu.

“Mengikut laporan dibuat, pengadu wanita berusia 38 tahun itu mendakwa kejadian itu berpunca daripada hutang along kerana sebelum ini keluarganya ada diganggu kumpulan lintah darat berkenaan.

“Pemilik rumah pula memberitahu anak lelakinya yang berkerja di Singapura ada meminjamkan akaun bank miliknya kepada rakannya bagi meminjam wang along, namun lelaki tersebut telah melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, suspek juga telah meninggalkan notis memberitahu akan membakar rumah dan kereta mangsa sebelum mencari ahli keluarga yang lain bagi menuntut hutang.



Mengulas lanjut beliau berkata, hasil risikan mendapati suspek telah bekerja dengan sebuah syarikat pinjaman wang di Singapura dengan bayaran RM1,000 bagi setiap tugasan khianat bom petrol.

“Pengakuan awal dibuat suspek dia mengakui terlibat dalam dua kes bom petrol di Masjid Tanah, Melaka dan di Setiawan, Perak membabitkan nilai kerugian RM10,000.

“Suspek mendakwa mempelajari cara membuat bom petrol melalui YouTube dan mengambil upah kerana ingin melangsaikan hutang along selepas dia terlibat dengan permainan judi di Genting Highland,” katanya.

Katanya, sebuah kereta milik ibu suspek jenis Toyota Unser telah dirampas kerana disyaki digunakan dalam kegiatan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button