Siapa sebar maklumat didakwa fakta siasatan kes Zayn Rayyan?

Oleh – Syeikh Baran


Siapa sebar maklumat didakwa fakta siasatan kes Zayn Rayyan?
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan susulan penyebaran maklumat didakwa fakta siasatan berkaitan kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matiin yang tular di media sosial sejak semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi menyekat penyebaran maklumat terbabit termasuk menurunkan kandungan yang dikesan dimuat naik di Telegram.



Mohd. Shuhaily menegaskan bahawa segala perkara membabitkan siasatan kes kanak-kanak autistik itu perlu melalui dari pihak rasmi.

“Ini adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab oleh sesiapa sahaja yang kita kesan (pelaku) kemudian kerana dia boleh mengganggu perjalanan perbicaraan.

“Ia memang boleh mengganggu perjalanan perbicaraan yang akhirnya kita tidak akan mendapat keadilan kepada arwah adik Zayn Rayyan itu sendiri,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman, hari ini.

Semalam, tular di media sosial maklumat didakwa fakta siasatan kes pembunuhan Zayn Rayyan membabitkan kedua ibu bapanya iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf.



Mengulas lanjut, Mohd. Shuhaily berkata, penyebaran maklumat itu turut memberi kesan kepada pihak pendakwaan, peguam bela serta keluarga Zayn Rayyan sendiri.

“Kita akan menyiasat sehingga ke akar umbi untuk kenal pasti pihak yang menyebarkan maklumat berkenaan.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk mendakwa pihak itu kerana segala penat jerih rakan-rakan (pasukan siasatan) yang lain dalam menyiasat (kes Zayn Rayyan) boleh tergugat dengan perkara yang berlaku ini,” katanya.

Terdahulu, pasangan berusia 29 tahun itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.



Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button