Jemaah ‘gempar’, bayi perempuan menangis di ruang solat wanita
Oleh – Syeikh Baran
Kira-kira 20 orang ahli jemaah lelaki dan wanita ‘gempar’ apabila mendengar suara seorang bayi merenggek dan menangis di ruang solat Masjid Kampung Lubuk Kulit di sini hari ini.
Ketika tiba di masjid kira-kirapukul 5.30 pagi hari ini para jemaah terkejut apabila mendengar seorang bayi merenggek dan menangis perlahan berdekatan dinding ruang solat wanita.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubuk Kulit, Mazlan Jali berkata, dia yang baru melangkah masuk ke masjid terdengar suara jemaah wanita yang mengelilingi bayi berkenaan.
“Bayi perempuan ini ditemui oleh jiran yang tinggal berdekatan masjid yang datang lebih awal lalu memaklumkan kepada saya serta jemaah lelaki yang baru sampai untuk menunaikan solat.
“Ketika ditemui, bayi yang berusia beberapa hari ini diletakkan di atas sejadah berlipat dan diselimuti dengan kain kelihatan sedar apabila jemaah wanita mendekatinya,” katanya di Kampung Lubuk Kulit di sini hari ini.
Menurut Mazlan, bayi perempuan berkenaan kelihatan sihat dan cuma merenggek serta kadang kala menangis kecil kemungkinan dahaga susu.
Katanya, seorang jemaaj telah menghubungi polis dan kemudiannya bayi itu dihantar ke Hopsital Lipis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kejadian pada pukul 5.30 pagi ini telah dimaklumkan oleh seorang penduduk Kampung Lubuk Kulit kepada anggota Balai Polis Padang Tengku di sini.
“Bayi tersebut ketika ditemui penduduk dalam keadaan baik dan masih mempunyai tali pusat.
“Bayi perempuan itu kini berada di Hospital Lipis untuk siasatan serta rawatan lanjut,”katanya.
Sementara itu katanya, polis sedang mengesan ibu bapa bayi tersebut dan kes disiasat mengikut Sesyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi,”ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE.