Wisma Putra sukar jejak individu buat pilihan ‘hilangkan diri’ di luar negara

Oleh – Syeikh Baran


Wisma Putra sukar jejak individu buat pilihan ‘hilangkan diri’ di luar negara
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Rakyat negara ini yang memilih untuk ‘menghilangkan’ diri di luar negara sukar dikesan, kata Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad berkata, Wisma Putra bagaimanapun sentiasa membantu untuk menjejaki rakyat negara ini yang berada di luar negara selain membantu membawa mereka pulang untuk kembali bersama keluarga di negara ini.



“Selain menjalinkan hubungan diplomasi antara negara, memang tugas asas Wisma Putra untuk menguruskan dan mengambil hal ehwal rakyat Malaysia di luar negara.

“Banyak yang kita sudah bantu untuk bawa mereka pulang seperti yang terlibat (aktiviti) scam di Laos dan Kemboja. Tidak timbul Wisma Putra tidak mahu membantu.

“Tetapi adalah mustahil bagi Wisma Putra atau Kementerian Luar untuk tahu jika mereka yang sendiri tidak mahu diketahui mereka berada di situ, itu kadang kala masalahnya, mereka tidak mahu diketahui berada di situ, itu boleh jadi niat mereka tidak mahu diketahui, tidak mahu dikesan dan tidak mahu diambil tahu.

“Sekurang-kurangnya keluarga mesti tahu di mana mereka berada dan menghubungi Wisma Putra, kita boleh guna macam-macam sumber termasuk kedutaan negara tersebut di sini, melalui polis dan Interpol, tetapi kalau sudah tidak tahu, mustahil kita dapat mengesan dan memberi pertolongan,” katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Inisiatif Kampung Angkat Madani dan Ibadah Korban 1445H/2024 Kementerian Luar Negeri di Dewan Orang Ramai Kampung Kanchong, Rantau di sini hari ini.

Mohamad mengulas mengenai hasrat seorang ibu berusia 77 tahun dari Kulai, Johor yang menantikan kepulangan anak sulungnya selepas dilaporkan hilang sejak 36 tahun lalu tanpa khabar berita selepas menamatkan pengajian di Amerika Syarikat.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button