Lelaki maut Toyota Crown Athlete rempuh tiang jejantas
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya melanggar tiang jejantas dalam kemalangan di Jalan Tunku Abdul Rahman berhampiran Balai Polis Karamunsing, di sini awal pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Chee Teck Kok, 40, memandu kereta jenis Toyota Crown Athlete seorang diri sewaktu kejadian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.02 pagi.
“Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Welson Juanis digerakkan ke lokasi kejadian.
“Terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu dan mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba dengan menggunakan peralatan khas dalam masa hampir sejam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, sebaik berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan meninggal dunia dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sumber – KOSMO! ONLINE