Bakar Toyota Vios, penganggur dijel 6 tahun
Oleh – Syeikh Baran
Padah melakukan khianat dengan membakar sebuah kereta Toyota Vios milik seorang wanita, seorang penganggur dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu terhadap T.Gunasegaran, 39, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh sabitan hari ini.
Mengikut pertuduhan, Gunasegaran didakwa telah melakukan khianat api dengan maksud hendak menyebabkan kerosakan kereta jenis Toyota Vios milik seorang wanita berusia 37 tahun yang bernilai RM43,000.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan hadapan Blok F PPR Pinggiran Bukit Jalil di sini pukul 3.40 petang pada 11 April lalu.
Berikutan itu pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Timbalan Pendakwa Raya, Ngoh Jess Lynn memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh selain kesalahan yang dilakukan serius kerana mendatangkan kerugian.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan menanggung ibu yang sakit.
Sumber – KOSMO! ONLINE