Serang Korea Utara bermakna serang Russia
Oleh – Syeikh Baran
Presiden Russia, Vladimir Putin menandatangani perjanjian pertahanan bersama Kim Jong-un semalam, manakala pemerintah tertinggi Korea Utara itu turut menawarkan ‘sokongan penuh’ kepada Kremlin dalam perang di Ukraine.
Ikrar kerjasama ketenteraan itu merupakan sebahagian daripada perjanjian strategik yang ditandatangani di Pyongyang, di mana Putin membuat lawatan pertama beliau dalam tempoh 24 tahun.
“Perjanjian ini benar-benar kejayaan yang cemerlang,” kata Putin pada sidang akhbar di Pyongyang.
Tambahnya, perjanjian itu antara lain, menyediakan bantuan bersama sekiranya berlaku pencerobohan terhadap salah satu pihak sama ada Pyongyang ataupun Moscow.
Kedua-dua negara itu bersekutu sejak Korea Utara ditubuhkan selepas Perang Dunia Kedua dan semakin rapat sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada 2022.
Putin juga berkata, Russia tidak menolak kerjasama teknikal ketenteraan bersama Korea Utara.
Semasa pertemuan mereka, Jong-un menggelar Putin sebagai ‘sahabat paling disayangi oleh rakyat Korea’ dan berkata, negaranya menyuarakan sokongan penuh dan solidariti bersama Moscow berhubung perang di Ukraine
Putin pula mengucapkan terima kasih kepada Jong-un dan menghargai sokongan ‘konsisten serta tidak berbelah bahagi’ Korea Utara.
Kedua-dua negara juga tidak akan bertolak ansur terhadap ‘pemerasan’ Barat, tegas Putin yang menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memansuhkan sekatan ke atas Pyongyang. – AFP
Sumber – KOSMO! ONLINE