Kastam pandang serius kes tembakan anggota di Kelantan

Oleh – Syeikh Baran


Kastam pandang serius kes tembakan anggota di Kelantan
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memandang serius insiden sekumpulan individu disyaki penyeludup minyak petrol dan diesel yang melepaskan tembakan ke arah anggota agensi itu dalam kejadian di Kelantan semalam.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, JKDM melahirkan rasa syukur susulan tiada anggota yang tercedera dalam insiden tersebut.



“Insiden itu tidak sedikitpun melunturkan semangat anggota JKDM untuk terus menggalas tugas mengutip hasil negara, memberi fasilitasi perdagangan dan mengawal sempadan.

“Cabaran dan halangan semasa menjalankan tugas penguatkuasaan adalah rutin yang ditempuhi oleh anggota JKDM dalam menjaga kedaulatan negara seharian,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, pihaknya akan sentiasa memperkasakan strategi untuk menghalang penyeludupan dan mengekang ketirisan hasil demi kemakmuran negara.

“JKDM juga sentiasa komited menangani isu melibatkan aktiviti penyeludupan dan akan terus bertindak tegas terhadap mereka yang melibatkan diri dalam aktiviti jenayah rentas sempadan berdasarkan punca kuasa perundangan yang berkuatkuasa,” tegasnya.



Semalam, sekumpulan penyeludup bertindak berani dengan melepaskan tiga das tembakan ke arah lima anggota dan pegawai JKDM yang cuba menahan mereka ketika menyeludup petrol dan diesel ke Thailand di Pangkalan Haram Pok Mat, Kampung Simpangan di Tumpat, Kelantan.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9.45 pagi semasa pasukan Operasi Penguatkuasaan (Marin) JKDM Kelantan menjalankan rondaan air di kawasan tersebut.

Bagaimanapun, kelima-lima anggota dan pegawai JKDM selamat dalam kejadian itu.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button