Tak sah korban, masak ajak kawan datang rumah makan – UAI

Oleh – Syeikh Baran


Tak sah korban, masak ajak kawan datang rumah makan – UAI
Ustaz Azhar (gambar kecil) mengingatkan orang ramai untuk mempelajari ilmu korban dengan betul.

Penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus menegaskan ramai dalam kalangan peserta yang menyertai ibadah korban tetapi tidak memiliki ilmu dalam membuat pengagihan daging tersebut.

Ustaz Azhar menerusi perkongsian video di YouTube berkata, ramai yang tidak sah ibadah korbannya kerana mereka tidak memberi daging mentah kepada orang miskin, malah menuntut untuk diberi keseluruhan bahagian bagi kegunaan diri sendiri.



“Semua dia nak (bahagian korban) untuk masak ajak kawan-kawan datang rumah makan.

“Tak sah korban. Korban, afdalnya ambil sedikit, sebesen beri kepada orang miskin. Kita beri orang miskin sedikit, sebesen bawa balik ke rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Azhar mengingatkan orang ramai agar daging korban perlu diagihkan secara mentah kepada mereka yang layak terutamanya golongan miskin.

“Tengok orang korban dia nak korban, tapi tak berilmu. Dia nak makan banyak, banyak bawa balik sebab budak-budak nak buat sate malam ini, esok buat barbeku (BBQ).



“Selepas itu nak masak jamu kawan-kawan pejabat di rumah. Itu bukan korban, baik beli di pasar bawa balik masak.

“Korban itu, kamu sembelih, daging itu diberi makan kepada orang susah,” tegasnya.

Terdahulu, tular sebuah badan bukan kerajaan, Murthadha Dakwah Centre (Madad) menyerahkan semua bahagian, termasuk kulit dan telinga lembu yang dikorbankan, selepas kaedah pembahagian sembelihan itu dipertikaikan seorang peserta wanita.

Situasi tersebut timbul selepas peserta terbabit enggan menghalalkan agihan yang dibuat oleh pasukan sukarelawan Madad, baru-baru ini.



Bagaimanapun, pertikaian mengenai isu itu sudah diselesaikan oleh Pengarah Urusan Madad, Mohammad Yaakob Yusra Mohd. Yusuf, secara baik dengan wanita berkenaan dan mereka sudah bermaafan.

Sebelum ini, kecoh di media sosial selepas tersebar tangkap layar mesej dipercayai dihantar peserta wanita itu mengkritik cara pembahagian daging lembu korban yang diuruskan oleh Madad kerana dirasakan tidak adil.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button