Cubaan ragut gagal, polis tahan penganggur

Oleh – Syeikh Baran


Cubaan ragut gagal, polis tahan penganggur
Video yang sempat dirakam pengadu dalam kejadian cubaan ragut oleh seorang lelaki yang menaik motosikal terhadap seorang wanita.

Tindakan seorang penganggur yang cuba meragut warga China memakan diri apabila perbuatannya itu dirakam orang awam semasa kejadian berlaku di Southville City di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada 10.45 pagi pada Jumaat.



Beliau berkata, laporan diterima daripada pengadu yang telah merakam kejadian cubaan ragut oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal terhadap seorang wanita di hadapan Blok C2, Savanna Executives Suites.

“Hasil maklumat daripada risikan yang dijalankan, suspek berjaya ditangkap di kawasan Lorong Bahagia, Kampung Jenderam Hilir, dekat sini jam 4 petang pada Jumaat.

“Suspek berusia 33 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Wan Kamarul berkata, polis turut merampas motosikal yang digunakan oleh suspek dalam kejadian ragut itu.



Menurutnya, permohonan reman ke atas suspek dijalankan pada Sabtu bagi membolehkan polis melakukan siasatan lanjut.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda.

“Orang ramai diharap tidak membuat sebarang spekulasi dan tidak berkongsi berita yang tidak benar mengenai kejadian ini di media sosial,” katanya.

Sumber – SINAR HARIAN



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button