Russia tidak akan berundur dari Ukraine
Oleh – Syeikh Baran
Permintaan Kiev supaya tentera Russia berundur dari Ukraine sebagai prasyarat kepada rundingan damai hanyalah rekaan untuk meneruskan konflik, demikian tegas Presiden Vladimir Putin seperti laporan portal berita RT kelmarin.
Putin berkata, permintaan itu dibuat kerana ia satu-satunya cara untuk kerajaan pimpinan Presiden Volodymyr Zelenskyy kekal berkuasa
Pemimpin Russia itu berkata demikian pada sidang akhbar di Hanoi selepas mengadakan pertemuan bersama kepimpinan Vietnam kelmarin.
Semasa rangka lawatannya ke Hanoi, Putin turut bercakap mengenai konflik berlarutan di Ukraine kepada pemberita.
“Jika rundingan (damai) melibatkan pengunduran tentera kami seperti yang diimpikan oleh Rejim Kiev, maka ini tidak akan berlaku.
“Disebabkan Rejim Kiev tidak mahu melepaskan kuasa, tidak mahu mengadakan pilihan raya bebas mengikut perlembagaan Ukraine, mereka akan selama-lamanya mengheret rundingan tentang gencatan senjata (meletakkan syarat tidak munasabah),”
“Ini menunjukkan bahawa kerajaan pimpinan Presiden Zelenskyy mempunyai ‘minat’ supaya tentera kami kekal di sana (Ukraine) kerana mereka tidak mahu mengadakan pilihan raya,” kata Putin.
Menurut Putin, arahan Kiev untuk mencapai kemenangan di medan perang, khususnya di Kharkov dengan apa cara sekali pun bermakna Ukraine akan terus menderita.
Ketika ditanya mengenai penolakan negara-negara Barat terhadap syarat perjanjian damai yang ditawarkannya kepada Ukraine pada minggu lalu, Putin memberitahu, beliau sudah menjangkakan reaksi negatif tersebut.
“Saya sudah menjangkakan reaksi sedemikian. Apa yang berlaku nanti, masa akan menentukan. Semuanya bergantung kepada bagaimana keadaan di medan perang berkembang,” katanya.
Jelas Putin, Russia sentiasa bersedia untuk berunding tentang gencatan senjata.
Namun, pemimpin Moscow itu berkata, Ukraine dan penyokong-penyokong Barat yang bertindak mensabotaj proses perjanjian Minsk dan rundingan damai di Istanbul, Turkiye. \
Presiden Russia itu malah berkata, tawaran damai yang dibuat oleh beliau bukan untuk selama-lamanya.
Perjanjian Minsk itu diwujudkan dengan tujuan untuk menamatkan perang di rantau Donbas, Ukraine, manakala rundingan di Istanbul diadakan bagi mencari perdamaian antara Moscow dan Kiev.
Russia mengerahkan bala tenteranya ke Ukraine pada 22 Februari 2022.
Menurut Presiden Russia itu, Kiev perlu mengiktiraf kedaulatan Moscow ke atas seluruh wilayah Republik Rakyat Donetsk dan Lugansk di samping Wilayah Kherson serta Zaporozhye.
Sebelum ini, Zelenskyy berkata bahawa Russia tidak bersedia untuk keamanan yang adil dengan menegaskan, Kiev terbuka untuk rundingan segera jika Moscow menarik tenteranya keluar dari negara itu.
“Russia dan kepimpinan mereka tidak bersedia untuk keamanan yang adil, ini adalah fakta,” kata Zelenskyy. – AGENSI/AFP
Sumber – KOSMO! ONLINE