Suami hentak isteri guna penyodok
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki Thailand menyerang dan mencederakan isterinya dengan menggunakan penyodok kerana dihantui perasaan cemburu dalam kejadian di wilayah Chonburi, lapor portal berita Pattaya Daily News hari ini.
Insiden berlaku sekitar pukul 10 malam kelmarin di kem buruh Baan Thung Srakeaw, daerah Banglamung.
Anggota-anggota pasukan kecemasan dari Yayasan Sawang Boriboon Thammasathan bergegas ke tempat kejadian selepas menerima aduan.
Sejurus tiba, anggota-anggota penyelamat menemui mangsa yang dikenali sebagai Puan A sedang terbaring dan tidak sedarkan diri. Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala.
Mereka segera memberikan pertolongan cemas dan membawanya ke hospital untuk rawatan lanjut.
Penyerang yang dikenal pasti adalah suami Puan A. Suspek dikenali sebagai Thongchai, 64, ditemui di tempat kejadian dalam keadaan mabuk sebelum polis menahannya.
Menurut saksi, Puan A dan Thongchai minum minuman keras bersama rakan dan saudara mereka di kem buruh itu selepas waktu kerja.
Namun, Thongchai dilaporkan cemburu dengan isterinya dan mula bertengkar sebelum memukul kepala mangsa menggunakan penyodok. – AGENSI
Sumber – KOSMO! ONLINE