Belum ada tangkapan kes rompakan kedai emas di Kajang
Oleh – Syeikh Baran
Polis sudah merakam keterangan tujuh individu bagi membantu siasatan kes samun barangan kemas dianggarkan bernilai RM3.2 juta di sebuah pusat beli-belah di Kajang, di sini, 17 Jun lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi kes terbabit
“Tiada tangkapan dilakukan setakat ini.
“Bagaimanapun, kita sudah merakam percakapan tujuh saksi bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada 17 Jun lalu, media melaporkan polis memburu empat lelaki bertopeng dan bersenjata dipercayai merompak sebuah kedai emas dalam bangunan di Kajang, di sini.
Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, empat suspek dilihat memakai baju seakan pengawal keselamatan, bertopeng dan bersarung tangan gelap.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Muhamad Nasir Drahman dilaporkan berkata, mereka kemudian masuk ke premis terbabit, memecahkan cermin kaca simpanan emas menggunakan tukul besi dan mengambil emas itu.
Menurutnya, semasa kejadian, suspek dipercayai membawa dua pucuk pistol dan satu laras senapang ke dalam premis berkenaan.
Sumber – HARIAN METRO