Hakim nasihat Miza Ozawa jangan ikut perasaan, nafsu
Oleh – Syeikh Baran
Seorang peniaga ubat kuat yang dikenali sebagai ‘Miza Ozawa’ dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini hari ini atas pertuduhan mencari langganan dalam aktiviti persundalan menerusi aplikasi Telegram.
Hakim Shahrul Rizal Majid menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Amiza Baharuddin, 27, yang hamil enam bulan selepas tertuduh kekal mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang didakwa ke atasnya.
Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkap pada 6 Jun lalu yang mana hukuman itu berjalan serentak bersama hukuman penjara sebulan sebelum ini.
Mengikut pertuduhan pilihan itu, Siti Amiza didakwa telah mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah unit kondominium di Bukit Mahkota di sini pukul 4 petang pada 6 Jun lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu sebelum hukuman dijatuhkan, Hakim Shahrul menasihat supaya tertuduh jangan mengikut perasaan dan nafsu serta jadikan kes ini sebagai pengajaran.
Hakim: Asal mana?
Siti Amiza: Saya asal Pulau Pinang.
Hakim: Lepas ini hendak buat buat apa?
Siti Amiza: Saya hendak buka kedai makan dekat KL (Kuala Lumpur) dan mahu jaga anak (dalam kandungan).
Hakim: Kenapa dekat KL siapa ada? kenapa tidak di Pulau Pinang?
Siti Amiza: Saya senang hendak cari makan di KL.
Hakim: Keluarga dimana?
Siti Amiza: Keluarga di Pulau Pinang. KL ada kawan.
Hakim: Balik Pulau Pinang..dekat KL tiada saudara mara…kawan tidak boleh pakai…duduk dengan famili kalau betul hendak jaga anak.
Sementara itu, Siti Amiza dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dan tidak dikenakan penjara.
“Saya insaf Yang Arif..saya mohon dikenakan hukuman denda dan bukan penjara…saya berjanji tidak akan melakukan kesalahan terkutuk itu dan mahu memulakan hidup baru.
“Saya tidak boleh berada dalam penjara, saya akan jadi mental dan tekanan,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Afiqah Abdul Ghaffar memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara dengan mengambil kira kes kepentingan awam dan kesalahan yang dilakukan adalah langganan persundalan.
“Kesalahan yang dilakukan tertuduh tidak bermoral selain meningkatkan penularan penyakit kelamin,” katanya.
Minggu lalu, Siti Amiza turut dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM12,500 oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalah memiliki bahan lucah dan ubat tidak berdaftar tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Sumber – KOSMO! ONLINE