Tukang urut mengaku amang seksual anak tiri

Oleh – Syeikh Baran


Tukang urut mengaku amang seksual anak tiri
Lelaki berusia 49 tahun itu (tengah) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuannya yang berusia 18 tahun, Khamis lalu. – Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

Seorang tukang urut mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuannya yang berusia 18 tahun, Khamis lalu.

Lelaki berusia 49 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Hilmiah Yusof.



Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menyentuh mangsa bagi maksud seksual di mana lelaki itu mempunyai hubungan amanah dengannya sebagai ayah tiri.

Perbuatan terkutuk itu dilakukan tertuduh di dalam bilik di sebuah rumah di Taman Seri Rapat dalam daerah Kinta pada pukul 12.30 tengah hari, 20 Jun 2024.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dibaca bersama Seksyen 16(1) dan Seksyen 27(1) akta sama.

Pertuduhan di bawah seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16(1), boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh juga dihukum sebatan tidak kurang dua sebatan.



Bagi hukuman di bawah Seksyen 27(1) pula, ia memperuntukkan pengawasan polis bagi tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih tiga tahun yang bermula selepas tempoh hukuman selesai.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaan Raya, Qurratu’aini Khalifah memohon tarikh baharu untuk mengemukakan fakta kes dan hukuman terhadap tertuduh.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan menetapkan 10 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button