Dewan mewah sudah siap, pengantin pula batal kahwin

Oleh – Syeikh Baran


Dewan mewah sudah siap, pengantin pula batal kahwin
Pihak vendor tetap memasang hiasan yang sudah ditempah. – TikTok

Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan dewan perkahwinan sebuah hotel di Jakarta Pusat dihiasi dengan dekorasi mewah meskipun pasangan pengantin membatalkan majlis pada saat akhir, lapor portal berita Wolipop kelmarin.

Berdasarkan hantaran yang dikongsikan oleh perunding perkahwinan Cass Organizer, dewan di Hotel Aryaduta Menteng itu sepatutnya menjadi lokasi sebuah majlis perkahwinan mewah.



“Hiasan mewah ini tidak digunakan kerana bakal pengantin membatalkan acara tujuh hari sebelum majlis berlangsung,” kata hantaran tersebut.

Tambah Cass Organizer, pihak pengantin tidak dapat membatalkan tempahan semua vendor yang sudah dibayar, menyebabkan ada antara vendor terpaksa meneruskan perkhidmatan.

“Vendor yang sudah menerima bayaran penuh tetap memenuhi kewajipan mereka.

“Salah satu daripadanya adalah hotel dan vendor dekorasi. Hiasan tetap dipasang dan pihak hotel tetap menyediakan bilik serta makanan yang sudah ditempah,” ujarnya.



Kata Cass Organizer, makanan hotel yang ditempah dibungkus sebelum diambil oleh keluarga pengantin dan disumbangkan kepada individu yang memerlukan.

“Bagi semua bakal pengantin, pastikan anda dan pasangan benar-benar sependapat. Jangan biarkan tekanan memaksa anda untuk berkahwin.

“Percayalah, lebih baik menunggu waktu yang tepat daripada menyesal di kemudian hari,” katanya. – AGENSI  

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button