Inspektor Sheila kekal dibicara atas tuduhan ugut, hina fizikal dan aib anggota polis

Oleh – Syeikh Baran


Inspektor Sheila kekal dibicara atas tuduhan ugut, hina fizikal dan aib anggota polis
Inspektor Sheila ketika hadir di Mahkamah Rayuan hari ini. Foto Faiz Alif Zubir/KOSMO!

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan seorang pegawai polis wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’, kekal dibicarakan atas tiga pertuduhan iaitu mengugut seorang wanita, menghina fizikal seorang lelaki dan mengaibkan anggota polis.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali membuat perintah itu selepas membatalkan tiga pertuduhan sama di Mahkamah Majistret Selayang yang didaftarkan secara bertindih dengan tiga pertuduhan yang dikemukakan sebelum itu.



Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azizul Azmi Adnan sebulat suara membatalkan ketiga-tiga pertuduhan bertindan itu bagi mengekalkan integriti pertuduhan yang sedang dihadapinya.

“Mahkamah ini menggunakan kuasa sedia ada dan membuat perintah untuk membatalkan tiga pertuduhan yang didaftarkan secara berganda. Pihak-pihak boleh meneruskan (prosiding) dengan pertuduhan sedia ada di Mahkamah Majistret,” ujar Hakim Che Mohd. Ruzima.

Sementara tu, peguam M. Manoharan yang mewakili wanita itu atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 35, memberitahu pihak media, tarikh sebutan ditetapkan di Mahkamah Majistret Selayang pada Khamis ini.

Ketika mengumumkan keputusan tersebut, Hakim Che Mohd. Ruzima berkata, jelas terdapat pertuduhan sama yang dikemukakan secara berganda dan kesilapan itu dilakukan di peringkat pendaftaran.



Ujar beliau, pihak pendakwaan yang menyedari kesilapan itu memohon mahkamah membatalkan pertuduhan berganda tersebut dan dibenarkan oleh mahkamah yang kemudian memerintahkan agar Sheila dilepas tanpa dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan.

Hakim Che Ruzima selanjutnya menyatakan, apa yang berlaku selepas itu menyebabkan pihak peguam mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi (Shah Alam) manakala pihak pendakwaan memfailkan permohonan semakan.

Ujarnya, tindakan itu diambil bagi mendapatkan perintah sama ada tertuduh perlu dilepaskan tanpa dibebaskan atau dibebaskan terus daripada ketiga-tiga pertuduhan.

“Bagi memperbetul keadaan, kami di peringkat rayuan menjalankan kuasa sedia ada untuk membuat perintah supaya pertuduhan berganda yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan di Mahkamah Majistret, dibatalkan.



“Kami membenarkan sebahagian rayuan kedua-dua pihak selaras dengan keputusan kami untuk membatalkan pertuduhan berganda tersebut,” ujar Hakim Che Mohd. Ruzima.

Kedua-dua pihak merayu dua keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun lalu yang mengetepikan perintah Mahkamah Majistret Selayang melepas tanpa membebaskan Sheila daripada ketiga-tiga pertuduhan itu.

Pada 26 Jun lalu, pegawai polis wanita itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang atas tiga pertuduhan tersebut.

Dia didakwa mengugut seorang wanita berusia 69 tahun dengan niat mendatangkan kegentaran kepada mangsa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.



Sheila juga didakwa menghina kesopanan seorang lelaki dengan berkata; “You tengok badan you, gemuk, botak dan badak sumbu”, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi tuduhan ketiga, Sheila mengaku tidak bersalah menyebut pangkat polis dengan cara tidak wajar kepada Lans Koperal Abdul Arif Farhan Abdul Razak dengan maksud mengaibkan kehormatannya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button