Tak letak tanda harga sebab pelanggan warga asing
Oleh – Syeikh Baran
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur mengambil tindakan terhadap kedai runcit warga asing sekitar ibu negara yang didapati dengan sengaja tidak meletakkan tanda harga pada barang jualan, Isnin lalu.
Menerusi Op Ali Baba yang bermula pada pukul 1.20 tengah hari itu, rata-rata alasan yang diberikan adalah majoriti pelanggan merupakan warga asing selain pertanyaan harga boleh dibuat di kaunter pembayaran.
Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Kuala Lumpur, Nurul Syarina Md. Anuar berkata, pihaknya memfokuskan premis perniagaan warga asing seperti kedai runcit, kedai kain, restoran dan kedai borong.
Katanya, lima tindakan kompaun telah dikenakan terhadap peniaga iaitu empat kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, manakala satu lagi kes mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972.
“Jumlah nilai kompauan bagi kelima-lima yang dikeluarkan ke atas semua kedai runcit itu berjumlah RM2,600,” katanya.
Menurut Nurul Syarina, satu kes turut direkodkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan sitaan 17 botol minyak masak kerana premis tidak mempunyai lesen atau permit menyimpan serta menjual barang kawalan.
Mengulas lanjut, kesemua premis ini didapati menjual barangan dari Myanmar dan Bangladesh.
Tambah beliau, KPDN Kuala Lumpur telah memberi amaran ke atas premis terbabit supaya sentiasa mengemaskini penandaan harga agar dipamerkan dengan lebih jelas.
“Berdasarkan semakan lesen pihak berkuasa tempatan dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), premis dimiliki oleh warga tempatan tetapi terdapat juga pekerja yang menguruskan terdiri daripada warga asing.
“Kita dapati pemilik warga tempatan tidak menekankan isu penandaan harga kepada pekerja warga asing dan ada juga beranggapan kawasan berkenaan majoriti pelanggan dari Myanmar dan Bangladesh dan jika mereka ingin mengetahui harga, mereka perlu bertanya kepada peniaga di premis tersebut.
“Terdapat peniaga yang tidak mempunyai lesen barang kawalan dan memberikan alasan tidak mengetahui mengenai keperluan lesen bagi menyimpan dan menjual barang kawalan di premisnya,” ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE.