Wanita cedera terseret ketika diragut tepi Kesas
Oleh – Syeikh Baran
Malang menimpa seorang wanita apabila cedera di kepala dan kaki selepas terseret ketika diragut dua penjenayah yang berpura-pura mahu membantunya di tepi jalan Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) di sini, semalam.
Kejadian itu berlaku ketika mangsa berusia 58 tahun mengalami kerosakan keretanya di susur keluar arah Kota Kemuning, kira-kira pukul 7 pagi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan mendapati wanita itu kemudian dihampiri sebuah motosikal dinaiki dua lelaki tempatan berusia 30-an.
Ujarnya, suspek yang berhenti bersebelahan kereta itu kemudian berpura-pura bertanyakan sesuatu dan menawarkan diri untuk membantu mangsa.
“Namun, salah seorang suspek tiba-tiba bertindak mengambil dompet yang berada dalam beg silang dipegang mangsa.
“Mangsa kemudian menangkap tangan suspek yang membonceng motosikal, namun dia terseret di atas jalan hingga cedera,” katanya petang tadi.
Menurut Mohd. Iqbal, kejadian itu dirakam seorang pengguna jalan dan mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam.
Tambahnya, wanita itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kaki sebelah kiri selain dokumen pengenalan diri, kad bank serta wang tunai RM500 dilarikan suspek.
“Hasil maklumat membawa kepada penahanan dua suspek bersama barangan milik mangsa di sekitar Klang antara pukul 1.30 hingga 3 pagi tadi.
“Semakan mendapati suspek bekerja sebagai pencuci kereta dan pekerja kedai makan tersebut memiliki rekod jenayah lampau dan positif dadah. Kedua-dua suspek direman seminggu,” katanya.
Sumber – KOSMO ONLINE