Dua lelaki Amerika Latin didakwa rompak ahli perniagaan RM7 juta
Oleh – Syeikh Baran
Dua lelaki warga Amerika Latin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah rumah dan mencuri barang bernilai RM7 juta milik seorang ahli perniagaan bulan lalu.
Tertuduh Yeyson Andres Rocha Garzon, 39, dan rakannya, Julian David Serna Pena, 22, dari Colombia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Hakim Dr. Azrol Abdullah.
Mereka didakwa bersama-sama individu yang masih bebas melakukan perbuatan itu di rumah ahli perniagaan berusia 45 tahun dan mencuri barangan mangsa bernilai RM7 juta.
Keslaahan dilakukan di Jalan Setia Murni, Bukit Damansara di sini pukul 10 malam, 31 Mei lalu.
Justeru pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama lima tahun dan denda.
Jika kesalahan itu mencuri, maka tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun manakala kesalahan kedua atau seterusnya, boleh didenda atau sebatan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd. Rauf tidak menawarkan sebarang jaminan kerana dua tertuduh itu merupakan warga asing selain tiada dokumen perjalanan yang sah.
Semasa prosiding, peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili kedua-dua tertuduh memaklumkan akan menghantar representasi terhadap pertuduhan itu.
Hakim Azrol tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin. Mahkamah menetapkan 5 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Semalam Kosmo! melaporkan seorang ahli perniagaan kerugian RM7 juta selepas rumahnya di Bukit Damansara dipecah masuk empat warga Amerika Latin pada 31 Mei lalu.
Polis kemudian menahan tujuh individu pada 6, 9, 11 dan 14 Jun lalu di sekitar ibu negara dan Bangkok, Thailand.
Sumber – KOSMO! ONLINE