Tiga kru cedera, patah tulang belakang helikopter TDM mendarat cemas
Oleh – Syeikh Baran
Tiga kru helikopter M81-11 (Agusta A109 LOH) milik Tentera Darat Malaysia (TDM) cedera selepas pesawat itu melakukan pendaratan cemas di Landasan Terbang Kluang, Rejimen 881 Pasukan Udara Tentera Darat, Kem Mahkota Kluang, Johor awal pagi tadi.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat (PRTD) dalam satu kenyataan berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 1.35 pagi semasa pesawat berkenaan melakukan sesi Latihan Penerbangan Malam, Kursus Army Aviation Basic Officer Course di kawasan tersebut.
Jelasnya, insiden berkenaan melibatkan tiga anak kapal yang terdiri daripada seorang jurulatih helikopter, seorang penuntut kursus dan seorang kru kuatermaster.
“Kesemua kru yang terlibat dalam keadaan sedar dan hasil awal pemeriksaan perubatan telah mengenal pasti beberapa kecederaan yang dialami oleh pegawai serta anggota.
“Antaranya patah tulang belakang dan luka-luka di beberapa bahagian anggota badan serta lain-lain kecederaan yang masih belum dikenal pasti.
“Kesemua anak kapal dalam keadaan stabil dan telah dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang, Johor bagi menerima rawatan lanjut,” jelasnya.
Kata kenyataan itu lagi, tindakan TDM adalah melaksanakan henti terbang sementara (temporary grounded) bagi helikopter berkenaan.
“Retifikasi dan ‘one-time inspection’ akan dilakukan untuk mengembalikan status terbang pesawat dengan segera.
“Dalam masa yang sama, satu lembaga siasatan akan disidangkan bagi mengenal pasti punca kejadian. TDM juga memohon agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan mendoakan agar kesemua anak kapal diberikan kesembuhan,” ujarnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE