Naik Vellfire curi ‘parcel’ atas tembok rumah

Oleh – Syeikh Baran


Naik Vellfire curi ‘parcel’ atas tembok rumah
Tangkap layar perbuatan pencuri ‘parcel’ (dalam bulatan) yang berjaya dirakam CCTV

Tular di media sosial sebuah rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan individu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire mencuri bungkusan yang ditinggalkan atas tembok rumah.

Menurut video yang dimuat naik pengguna TikTok @knaidu553, kejadian yang dipercayai berlaku di Ulu Tiram, Johor itu dirakam pada pukul 3.49 petang kelmarin.



Dalam video itu, kelihatan MPV tersebut bergerak perlahan sebelum memberhentikan kenderaan di hadapan sebuah rumah.

Selang 10 saat kemudian, seorang individu memakai baju berwarna putih keluar dan mengambil bungkusan atas tembok sebelum memasuki semula kenderaan tersebut.

MPV itu seterusnya beredar laju tanpa sempat menutup pintunya.

Sehingga kini, video tersebut mendapat lebih 79,000 tontonan, 1,302 tanda suka dan 261 perkongsian.



Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati orang ramai yang menggesa pihak berkuasa bertindak segera dan secara berseloroh memaklumkan pencuri tersebut menjalankan kegiatannya bagi melunaskan bayaran Vellfire.

“Nak beli barangan tak ada duit lah tu, duit dah habis bayar Vellfire,” komen Rozyron.

“Tak boleh nak salahkan penghantar barang. Tembok tinggi, kalau campak takut pecah pula. Harap pencuri ‘parcel’ dapat dibanteras segera. Banyak dah barang hilang tapi tulis dah sampai,” komen Syasya pula.

Sumber – KOSMO! ONLINE



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button