Kota Kinabalu, Penampang dilanda banjir

Oleh – Syeikh Baran


Kota Kinabalu, Penampang dilanda banjir
Hujan berterusan sejak tengah hari tadi mengakibatkan beberapa kawasan di daerah Penampang serta Kota Kinabalu dilanda banjir. – Foto MEDIA SOSIAL

Hujan berterusan sejak tengah hari tadi mengakibatkan beberapa kawasan di daerah Penampang serta Kota Kinabalu dilanda banjir selain kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Penampang dalam satu kenyataan memaklumkan, beberapa buah kampung tidak boleh dilalui ekoran dinaiki air.



“Hasil pemantauan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mendapati Kampung Kolopis dan Sugud tidak boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan.

“Anggota APM juga sudah dikerahkan ke lokasi banjir. Anggota keselamatan lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PKOB turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

“Penduduk sekitar juga diminta sentiasa berwaspada sekiranya terdapat keperluan untuk berpindah berikutan bacaan Sungai Moyog berada pada paras waspada iaitu lapan meter,” katanya.

Dalam pada itu, hujan lebat berterusan hingga petang tadi turut mengakibatkan beberapa kawasan ditutup susulan berlakunya tanah runtuh.



“Antara yang dikenal pasti setakat ini ialah berhampiran Kampung Babagon Toki dan Kampung Timpoluon, Penampang dan Jalan Kota Kinabalu- Tambunan.

“Beberapa kawasan lain di sekitar ibu negeri seperti di Kionsom, Kionsom Lama, Pomotodon dan Jalan Kionsom, Inanam serta Kampung Rampayan dan Mansiang, Manggatal turut dilaporkan antara yang terjejas akibat banjir,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button