DSP dituduh langgar Zaharif mohon dibebaskan dengan jaminan

Oleh – Syeikh Baran


DSP dituduh langgar Zaharif mohon dibebaskan dengan jaminan
Mohd. Nazri tiba di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini bagi sebutan semula permohonan jaminan berhubung kes pembunuhan Allahyarham Muhammad Zaharif Affendi pada Disember lalu. – Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

Pegawai polis, Deputi Superintendan Mohd. Nazri Abdul Razak yang didakwa atas pertuduhan membunuh pelajar lelaki tingkatan lima pada Disember lalu memohon dibebaskan dengan jaminan atas alasan dia tidak bersalah.

Menurut pegawai berusia 45 tahun itu, dia masih belum didapati bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya oleh mahkamah.



Itu antara alasan dikemukakan pasukan pembelaan diketuai Jacky Loi Yap Loong dalam afidavit yang difailkan sebelum ini.

Peguam itu memohon jaminan dibenarkan ke atas anak guamnya dengan alasan mahkamah mempunyai budi bicara mengikut Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah untuk memberikan jaminan bagi kesalahan tidak boleh dijamin.

Pada 23 November 2006, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang didakwa bersubahat membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu dibebaskan dengan jaminan RM1 juta.

Pada prosiding Mei lalu, Jacky Loi memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa pihaknya akan mengemukakan permohonan berhubung ikat jamin terhadap lelaki itu.



Sehubungan itu, Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet mengarahkan pihak-pihak terlibat memfailkan hujahan mereka berhubung perkara berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Ogos ini untuk sebutan semula kes. Pada tarikh tersebut mahkamah akan menetapkan tarikh pendengaran permohonan jaminan tersebut.

Disember lalu seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah direman tiga hari bagi membantu siasatan kes langgar dan seret pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button