Selamba seludup dadah dalam kotak mi segera
Oleh – Syeikh Baran
Tindakan berani seorang lelaki membawa dadah jenis Ketamin dalam kotak mi segera ketika mendaftar masuk penerbangan memakan diri apabila dia ditahan pihak berkuasa.
Dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini pada 16 Jun lalu, lelaki tempatan berusia 35 tahun itu diberkas selepas pemeriksaan dilakukan anggota kastam dan pihak Aviation Security Malaysia Airport (AVSEC).
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, suspek ditangkap ketika mendaftar masuk secara ‘self check in’ bersama kotak mi berisi dadah di kaunter sebuah syarikat penerbangan tempatan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui sejumlah 15 bungkusan kristal putih dalam bungkusan teh disyaki ketamin.
“Bungkusan teh itu diisi dalam kotak makanan label jenama mi segera dengan berat 15.181 kilogram (kg) bernilai RM760,000,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya, suspek dipercayai ingin membawa dadah tersebut ke Miri, Sarawak.
Sumber – KOSMO! ONLINE